'Jika tak bertegas, isu tanam durian atas tanah kerajaan tak selesai'

KERAJAAN Pahang berharap pekebun yang mengusahakan tanaman durian di atas tanah haram dapat mematuhi skim pengesahan pendudukan tanah di sisi undang-undang (legalisation scheme) bagi memastikan kerajaan tidak terus menanggung kerugian yang besar.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, buat masa ini kerajaan masih mempertimbangkan untuk membenarkan mereka meneruskan penanaman, tetapi perlu membuat permohonan di bawah skim berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, di Cameron Highlands kerajaan negeri melantik rakan strategik Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) untuk melaksanakan aktiviti pembersihan kebun sayur diatas tanah kerajaan dan ia sudah hampir selesai dilakukan.

Menurutnya, kini kaedah hampir sama dilakukan di Raub menerusi syarikat tujuan khas (SPV) bagi menyelesaikan isu ladang durian haram di daerah itu.

"Syarikat berkenaan akan menguruskan tanaman durian secara komersial dan peladang turut sama mendapat manfaat, kita sudah buat 'legalisation scheme' dan mereka perlu mematuhinya bagi memastikan kerajaan tidak terus menanggung kerugian.

"Pekebun terbabit sudah lama meneroka tanah secara haram dan sekiranya kerajaan tidak bertegas sampai bila isu tanaman durian diatas tanah kerajaan tidak akan selesai," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap aktiviti penerokaan tanah haram termasuk penanaman di atas tanah kerajaan dan hutan simpan yang masih berleluasa hingga kini.

Sallehuddin berkata, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang juga diberikan tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan perkara ini termasuk membuat pembersihan di mana-mana lokasi penerokaan jika dirasakan perlu.

"Keputusan kerajaan negeri hanya memberi kebenaran memasuki dan menduduki tanah kerajaan kepada syarikat usaha sama kerajaan negeri sahaja.

"Pihak yang didapati menceroboh akan berdepan tindakan polis dan PTG," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, Sallehuddin dilaporkan berkata, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Beliau dipetik berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Dianggarkan 4,400 hektar kawasan diusahakan secara haram untuk penanaman durian di Raub, dan tindakan tegas perlu segera diambil bagi menangani isu ini.